Ucapara itu disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad.

Turut melafaz serta menandatangani IBR tiga ex-officio terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan; Pegawai Kewangan, Datuk Johani Hassan dan Penasihat Undang-Undang, Datuk Iskandar Ali Dewa.

Bagaimanapun, Kosmo! difahamkan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli tidak dapat menyertai upacara itu kerana kurang sihat.

Mohamad Hasan berkata, majlis menandatangani IBR oleh Kerajaan Negeri Sembilan merupakan detik bersejarah dalam usaha memastikan pentabdiran negeri ini bebas gejala rasuah dan salah guna kuasa.

"Hari ini satu majlis yang bersejarah. Exco kerajaan Negeri Sembilan berada dalam satu majlis melafazkan ikrar untuk mengelakkan diri mereka daripada terlibat dalam jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Saya yakin ia akan menjadi pemangkin dan semangat kepada kakitangan lain untuk sama-sama memastikan persekitaran kerja yang bebas rasuah dan salah guna kuasa," katanya pada sidang akhbar selepas mengetuai upacara itu.

Sementara itu, Dzulkifli berkata, setakat ini sebanyak empat kerajaan negeri telah melafaz serta menandatangani IBR dan berharap kerajaan negeri lain mengambil langkah yang sama.

Kata beliau, kerajaan negeri pertama melafaz serta menandatangani IBR adalah Sarawak diikuti Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan. - K! ONLINE