Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, acara berprestij kali ke-17 itu dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Majlis Perbandaran Port Dickson. 

Menurut beliau, pihak penganjur telah mengikuti semua prosedur dan aspek keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan mereka tiada masalah untuk menganjurkan acara tersebut. 

"Ini merupakan satu kemalangan yang tidak dapat dielakkan dan bukan aspek kesilapan atau kecuaian manusia. 

"Tambahan pula, tahap keselamatan bagi acara sukan lasak ini telah dipertingkatkan dari tahun lepas dan pihak bomba juga mengesahkan segala peraturan telah dipatuhi," katanya kepada pemberita ketika meninjau lokasi mencari dan menyelamat di Pantai Batu 5 di sini petang tadi. 

Terdahulu, Menteri KBS,  Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika meninjau lokasi kejadian hari ini mahu satu jawatankuasa siasatan segera ditubuhkan bagi menyiasat kemalangan menimpa dua peserta acara itu. 

Dalam kejadian pagi tadi, mangsa yang maut ialah Tharm Wei Wong, 39, dari Pulau Pinang, manakala peserta yang masih hilang merupakan warganegara Hong Kong, Yuen Chi Yuen, 42.

Ditanya sama ada penganjuran PDIT 2018 mendapat kebenaran KBS, Aminuddin berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan pihak penganjur berhubung perkara itu dalam tempoh terdekat. 

"Saya akan bertanyakan semula perkara ini kepada pihak penganjur. Lagipun sudah 17 kali acara ini dianjurkan dan semuanya berjalan lancar," katanya

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis berkata, operasi mencari Chi Yuen di laut akan diteruskan sehingga pukul 10 malam ini. 

"Bagi operasi ini, anggota akan menyelam di laut sehingga pukul 10 malam sebelum disambung keesokan hari. Bagaimanapun, pemantauan menggunakan bot dan di tepi pantai diteruskan sehingga mangsa ditemui," jelasnya. - K! ONLINE