Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, ketika ini kawasan kilang pengeluaran di Tanjung Malim sedang dinaik taraf dan diperbesarkan, seiring langkah pembaharuan syarikat tersebut yang kini melakukan kerjasama strategik dengan syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group (Geely).

"Memandangkan proton kini sedang berkembang, ia memerlukan kawasan yang lebih, jadi kerajaan negeri akan memberi kerjasama terutama dalam penyediaan tapak.

"Kita juga akan bekerjasama melalui agensi dan jabatan kerajaan supaya proses meluluskan (tanah) dapat dipercepatkan bagi mengelak proses pengeluaran terganggu," katanya kepada Bernama di sini selepas melawat kilang Proton itu.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed.

Mohammad Nizar berkata penyediaan tapak tersebut adalah usaha dan sokongan dari kerajaan negeri bagi memastikan perusahaan Proton terus berkembang dan bertahan selain meningkatkan peluang pekerjaan bagi masyarakat di kawasan Tanjung Malim.

Proton masih belum memutuskan tarikh pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) Geely Boyue yang dijangka akan dilancarkan menjelang suku keempat tahun ini.

Harga  SUV tersebut disasarkan sebagai kenderaan mampu milik dan menyaingi model varian seangkatannya seperti Honda CR-V dan Nissan X-Trail.

"Untuk model pertama ini (Geely Boyue), akan mula dikeluarkan untuk pemasangan tempatan (CKD) awal tahun hadapan jadi kita mahu proses tersebut tidak terganggu," kata Mohammad Nizar.

"Kita juga berharap fasiliti di kilang Proton Shah Alam dipindahkan ke Tanjung Malim untuk memudahkan proses pemasangan dan dapat memberi manfaat masyarakat setempat terhadap industri otomobil di sini," katanya. - Bernama