Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu menegaskan semakan telah dibuat dan mendapati tiada sebarang tajaan atau kehadiran wakil pejabat Menteri Besar atau mana-mana jabatan serta agensi kerajaan negeri pada majlis itu.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya pembabitan saya, pejabat Menteri Besar dan juga mana-mana jabatan atau agensi kerajaan negeri sama ada secara langsung atau tidak dengan majlis itu. 

"Saya tidak pasti apakah niat pihak berkenaan berbuat demikian, tetapi saya memandang serius perbuatan berkenaan kerana ia melibatkan imej institusi Menteri Besar dan juga kerajaan negeri keseluruhannya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas satu klip video berdurasi 1 minit 24 saat yang menunjukkan seorang penyanyi wanita menari dan menyanyi dengan pakaian seksi pada majlis makan malam anjuran sebuah persatuan kebudayaan dan pelancongan di negeri itu yang difahamkan berlangsung semalam.

Terpapar pada layar skrin di atas pentas ucapan penghargaan terima kasih kepada tetamu kehormat Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran dan Menteri Besar selain memaparkan Jata Negeri Perak, logo Visit Perak 2017serta logo Tourism Perak.

Ahmad Faizal berkata susulan kejadian itu, beliau telah mengarahkan mana-mana pihak yang ingin menggunakan imejnya atas kapasiti sebagai Menteri Besar, Anggota Dewan Undangan Negeri dan Anggota Parlimen supaya merujuk kepada Pejabat Menteri Besar terlebih dahulu. - Bernama