Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional, A. Sivanesan berkata, langkah tersebut akan diambil sekiranya kontraktor itu masih meneruskan operasi selepas premis dapur dewan sekolah itu ditutup selama dua minggu.

Tegasnya, pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) perlu membatalkan kontrak pembekalan makanan kontraktor pengendali makanan dewan makan sekolah itu dengan segera selepas dua kes keracunan makanan berlaku dalam tempoh tiga minggu.

"Kontraktor itu memperoleh lanjutan kontrak lanjutan selama enam bulan selepas kontrak asal mereka tamat pada 31 Julai lalu. Jadi, memohon agar unit undang-undang Mara mengkaji semula kontrak lanjutan yang telah diluluskan kepada kontraktor itu.

"Saya juga memberi tempoh selama tujuh hari untuk pihak Mara menukar kontraktor dewan makan sekolah itu. Jika kontraktor itu tidak ditukar, kerajaan negeri tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku lagi kes keracunan makanan di sekolah itu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan, rojak mi yang disediakan di dewan makan asrama sekolah itu dipercayai tercemar menjadi punca 103 pelajar mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu, seramai 593 pelajar yang tinggal di asrama sekolah itu menikmati hidangan kudapan malam mi rojak pada pukul 11 malam Selasa lalu namun, hanya 103 pelajar yang mengalami gejala keracunan makanan.

Sementara itu, menurut Sivanesan, beliau juga berharap agar pihak Mara mendapatkan senarai pengendali makanan daripada Jabatan Kesihatan sebelum melantik kontraktor baharu.

Jelasnya, aspek keselamatan penyediaan makanan di sekolah perlu diambil berat dan kerajaan negeri tidak akan bertolenrasi dengan perkara yang melibatkan kesihatan pelajar. - K! ONLINE