Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, komitmen berterusan itu bagi memastikan keadilan kepada mangsa-mangsa insiden berkenaan.

"Malaysia akan terus bekerjasama dengan anggota-anggota pasukan penyiasatan bersama (JIT) lain, negara-negara yang terlibat dan masyarakat antarabangsa dalam memaklumkan perkembangan berkaitan kepada pihak keluarga bagi mencari akauntabiliti dan keadilan.

"Tidak syak lagi, setiap anggota keluarga yang terjejas oleh tragedi ini patut diberi keadilan. Kami amat berharap ini akan membawa ketenangan kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi ini," katanya.

Hari ini genap tahun kelima peristiwa tragis pesawat MH17 yang ditembak jatuh berhampiran Hrabove, sebuah kampung di timur Ukraine sehingga mengorbankan 298 orang termasuk 43 warga Malaysia yang menaiki pesawat berkenaan.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut menambah, anggota-anggota keluarga mangsa terlibat diharap diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan seharian mereka.

"Kita akan tetap tegas dalam usaha kita dan akan menjalankan segala usaha sehingga keadilan dapat diperoleh," katanya. - K! ONLINE