Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan malah bersedia memberi bantuan serta keperluan kepada kaum peribumi itu.

Katanya, bantuan yang disalurkan umpamanya penyediaan keperluan air bersih bagi kegunaan harian mereka supaya tidak lagi ketinggalan.

“Bagaimanapun untuk keperluan jangka panjang kita terpaksa membuat penelitian semula berikutan jarak Kampung Kuala Koh dengan bandar Gua Musang terlalu jauh.

“Kita akan mengkaji cara pelaksanaannya mengikut keperluan kaum Orang Asli,” katanya kepada pemberita di Dewan Serbaguna di Ladang Sungai Terah, di sini hari ini.

Sebelum itu, Ahmad merasmikan Majlis Penyampaian Sijil pengiktirafan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kepada Kumpulan Perladangan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Ahmad menyaksikan majlis penyerahan sijil itu yang dilakukan Pengurus MSPO, Mohd. Hasbollah Suparyono kepada Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Perladangan PKINK Berhad, Zulkifli Mamat.

Selain itu, Ahmad mengakui dalam tempoh tragedi itu berlaku, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) telah  menghantar keperluan air bersih kepada penduduk Orang Asli di kampung berkenaan.

Katanya, air bersih itu dibekalkan dalam dua tangki besar yang disediakan supaya penduduk kaum itu tidak berdepan masalah bagi mendapat air bersih untuk minum dan memasak.

“Sebenarnya Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berperanan penting untuk mengatur segala keperluan untuk Orang Asli seperti keperluan air dan kemudahan lain.

“Kita sentiasa memberi perhatian ke atas masalah dihadapi kaum itu supaya mereka turut menerima perubahan hidup," katanya. - K! ONLINE