Badan penyiaran awam Jepun, NHK melaporkan bahawa tanah runtuh berlaku di beberapa kawasan yang terjejas.

Menurut NHK, seramai 1.123 juta orang di wilayah Kagoshima dan Miyazaki diarah  berpindah ke tempat-tempat perlindungan selepas tanah runtuh menghanyutkan sejumlah kereta dan menimbus sebuah rumah di Kagoshima.

Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini, manakala angka rasmi penduduk yang mematuhi arahan berpindah juga belum diketahui.

Arahan berpindah dikeluarkan oleh kerajaan Jepun apabila bencana alam semula jadi berkemungkinan besar akan berlaku, namun, arahan itu kerap tidak diendahkan.

Arahan berpindah adalah amaran paling serius yang dikeluarkan sebelum bencana sebenar berlaku.

Dalam pada itu, Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran bahawa bencana tanah runtuh yang mengancam nyawa penduduk boleh berlaku pada bila-bila masa di Kagoshima.

“Sekiranya hujan lebat berterusan turun selama beberapa jam di rantau sama, kami akan mengeluarkan amaran khas hujan yang merupakan amaran peringkat tertinggi menandakan bencana telah berlaku,” kata pegawai agensi berkenaan, Ryuta Kurora kepada pemberita.

“Sudah terlewat untuk berpindah selepas amaran ini dikeluarkan. Berpindah awal tanpa menunggunya,” tambah Kurora.

Sementara itu, Gabenor Kagoshima, Satoshi Mitazono berkata dalam mesejnya kepada penduduk wilayah tersebut bahawa situasi kini adalah ‘sangat berbahaya’. - AFP