Beliau berkata, kerajaan bertekad untuk menggerakkan inisiatif bersesuaian dalam menjamin produktiviti bekalan makanan mencukupi selain memastikan indeks keselamatan makanan negara mencapai piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Antara fokus saya dari segi implimentasi adalah untuk memastikan sektor padi dan beras negara dapat diperbaharui secara drastik untuk bekalan tempatan lebih efisien selain memastikan bekalan daging tempatan sampai pada tahap 30 peratus pengeluaran.

"Kerajaan akan tingkatkan teknologi dalam industri beras. Kita (kerajaan) juga akan memulihkan segala masalah birokrasi berkaitan bekalan beras termasuk memikirkan untuk meningkatkan bajet dan subsidi kepada golongan pesawah dan petani," katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Salahuddin berkata bagi memastikan jaringan keselamatan makanan berada pada tahap memuaskan, sektor pengeluaran negara perlu diperhebat dan dalam masa sama golongan pesawah, petani, peladang serta  nelayan mampu mengembangkan ekonomi hidup mereka.

"Jika pengeluaran hasil negara efisien, maka ini turut mengurangkan risiko food security (keselamatan makanan) di negara ini kerana kerajaan difahamkan stok makanan di Malaysia hanya boleh bertahan paling lama untuk tempoh tiga bulan andainya import beras terhenti atau berlakunya bencana atau perang.

"Berbanding di Thailand, bekalan makanan mereka boleh bertahan sehingga lapan bulan manakala China pula selama setahun. Ini kebimbangan kita kerana kementerian ini bertanggungjawab terhadap memastikan bekalan adalah cukup untuk rakyat dalam keadaan apa sekalipun," katanya.

Salahuddin berkata dalam usaha kerajaan mengembangkan produktiviti pengeluaran negara, kadar import bahan makanan juga perlu dikurangkan.

Menurutnya, kerajaan menyedari bahawa kebergantungan negara kepada sektor import ini dikhuatiri semakin meningkat serta menyebabkan aliran keluar mata wang, suatu situasi yang seterusnya menjejaskan kekayaan rakyat dan negara. 

Beliau berkata kerajaan akan mengatasi setiap kelemahan termasuk mempelajari dari negara lain yang berjaya dalam bidang pertanian seperti Taiwan yang mampu mengekalkan produktiviti pengeluaran beras yang tinggi walaupun saiz tanah negara itu lebih kecil berbanding Malaysia.

"Sedangkan kita juga ada teknologi baharu dan tinggi serta varieti baharu padi yang membuatkan kita tidak kalah dari segi sumber, namun kenapa kita masih belum dapat tingkatkan hasil padi? Inilah cabaran besar kementerian, diharap dalam tempoh tiga tahun ini kita mampu lihat hasilnya.

"Selain beras, negara lain yang setara dengan kita telah mampu mengurangkan import mereka seperti bekalan daging, susu dan gula, malahan dalam masa sama stok makanan negara masing-masing juga boleh bertahan lama lebih dari tiga bulan sehingga setahun," katanya. - Bernama