Beliau mencadangkan kadar SST antara tiga dan empat peratus, lebih rendah daripada 10 peratus yang sebelum ini dilaksanakan kerajaan.
"Kadar SST tidak sepatutnya tinggi kerana sistem pencukaian lama 10 peratus, dan kemudian enam peratus (Cukai Barang dan Perkhidmatan - GST) telah menyebabkan berlakunya ketirisan dan peningkatan harga.

"Bagi peniaga, jika kadar terlalu tinggi, mereka cenderung untuk tidak membayar kadar itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat dengan Majlis Penasihat Kerajaan di sini, hari ini.

Ameer Ali yang juga Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd berkata berasaskan pematuhancukai yang lebih baik, kerajaan dapat mengumpul hasil yang disasarkan bagi jangka panjang.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan GST dimansuhkan berkuat kuasa 1 Jun dan digantikan dengan SST mulai 1 Sept, 2018.

Ketika ditanya mengenai jutaan pelaburan oleh Mydin bagi melaksanakan Sistem Perakaunan Berkanun (SAP) sedia GST, beliau berkata "apa yang telah berlaku, biarkan ia berlalu."

Mydin telah melabur sejumlah RM20 juta untuk berubah kepada sistem SAP.

"Kami  berharap bagi SST mereka  akan menggunakan sistem hibrid dengan mekanisme semasa, oleh yang demikian kami tidak perlu mengubah sistem itu memandangkan SAP adalah sistem yang sangat baik," katanya.

Mengulas mengenai janji kerajaan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan seperti dalam manifestonya, Ameer Ali berkata daripada perspektif runcit, persatuan itu tidak mempunyai sebarang halangan.

"Peruncit bergantung kepada pendapatan boleh guna, jika ia lebih tinggi, sudah tentu akan membantu mereka namun kita juga tidak mahu memberi kejutan kepada industri.

"Sudah tentu perlu ada kenaikan kerana tidak dinafikan gaji di Malaysia adalah sangat rendah, justeru itu kita boleh naikkan dengan sewajarnya," katanya.

Ameer Ali berkata kuantum kenaikan seharusnya perlu lebih tinggi daripada inflasi, jika sebaliknya ia tidak akan wujud pendapatan boleh guna sebenar. - Bernama