Zahidi berkata cadangan tersebut dibuat berikutan permintaan tinggi dari Eropah dan Amerika Syarikat yang ingin Malaysia mengeksport tanaman itu untuk tujuan perubatan.

"Permintaan untuk eksport ketum ini sangat tinggi. Di Eropah, Amerika Syarikat, Agensi Anti Dadah Antarabangsa dan farmasi minta untuk ubat penagih dadah menggunakan ketum, nak guna herba  untuk mengubat penagih dadah sebab tak mahu lagi guna opium atau bahan kimia.

"Kita dah bagi cadangan (tanaman ketum) sebelum ini. Tapi berlaku salah faham* bila sebut ketum  sahaja, ingat minum ketum. Kita bukan nak galakkan minum ketum, kita nak tanam untuk bawa daun ketum ke luar negara," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Zahidi berkata kerajaan juga boleh menggunakan sebahagian peruntukan daripada cukai yang dipungut daripada hasil eksport tanaman itu untuk tujuan kesedaran dan pemulihan bagi individu yang menyalahgunakan ketum.

"Kita minta kerajaan jangan hanya mengambil tindakan undang-undang, gunakan pendekatan lain untuk mereka yang salah guna tanaman ini. Gunakan pendekatan agama, motivasi, kita juga dah bincang  dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk mengadakan pelbagai program kesedaran untuk  golongan muda," katanya.

Zahidi yang merupakan Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) pernah mengutarakan cadangan yang sama sebelum ini berikutan tanaman itu dilihat mampu memberi  pulangan yang lumayan.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung minggu depan. - Bernama