Pakatan Harapan sebelum ini mencadangkan satu sistem bayar bersama yang akan membahagikan kos kenaikan gaji minimum antara kerajaan dengan majikan secara sama rata.

Ia mencadangkan kadar gaji minimum semasa tidak perlu naik dengan segera kepada RM1,500 tetapi meliputi tempoh lima tahun dengan kenaikan pertama pada 2019.

"Bagaimanapun, hasrat untuk menyeragamkan kadar gaji minimum di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung perlu dikaji semula berikutan kedua-dua negeri itu tidak akan dapat mengekalkan kenaikan yang ketara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, potongan untuk rumah secara bulanan yang dibenarkan untuk pekerja asing perlu dinaikkan daripada RM50 kepada RM150, katanya. 

FMM turut mencadangkan kerajaan melaksanakan mekanisme levi pelbagai peringkat (berasaskan pasaran) termasuk melaburkan semula levi yang dikutip untuk menyokong automasi industri dan penggunaan teknologi Industri 4.0, tetapi pada masa sama, beban levi perlu dikembalikan kepada pekerja asing.

Di samping itu, definisi gaji minimum perlu dikaji semula sebagai jumlah ganjaran, iaitu, gaji asas dan semua bayaran  tunai  tetap dan elaun ditakrifkan  sebagai upah di bawah Seksyen 2 Akta Kerja 1955.

"Kenaikan gaji minimum perlu selaras dengan peningkatan produktiviti dengan usaha yang lebih baik ke arah melaksanakan sistem gaji berkaitan produktiviti," katanya.

FMM telah menjadi suara bagi sektor pembuatan Malaysia sejak 1968 dan ia mewakili lebih 10,000 anggota syarikat (3,000 langsung dan 7,000 tidak langsung) daripada rantaian bekalan pembuatan. - Bernama