Ketua Pembangkang dan anggota Parlimen Bagan Datuk itu berkata, tempoh 100 hari itu bermula sebaik sahaja SST dilaksanakan pada 1 September nanti. 

Menurutnya, pembangkang mengambil sikap berlapang dada dengan memberikan peluang kepada kerajaan untuk membuktikan langkah itu berasas selain memberi peluang untuk mereka menunaikan janji semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 

"Kita beri peluang kepada kerajaan untuk kurangkan kos sara hidup, dulu masa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kita kutip RM 48 billion tetapi SST hanya RM 21 billion. 

"Secara teorinya, menurut mereka (kerajaan PH) peralihan semula kepada SST ini dapat meringankan kos sara hidup, kita tunggu sahaja," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini. 

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Isnin berkata SST akan diperkenalkan semula berkuatkuasa 1 September pada kadar 10 peratus untuk jualan dan enam peratus untuk perkhidmatan. 

Lim berkata rang undang-undang SST dijangka diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini. - Bernama