Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia mencerminkan kesungguhan dan komitmen bagi membentuk keluarga yang bahagia dan sejahtera.

"Justeru, hanya satu hari akan menjadi sambutan Hari Ibu dan Bapa dan tidak lagi diasingkan.

"Ini bagi menghargai komiten ibu bapa mendidik dan membesarkan anak-anak.

"Sambutan pada tahun ini memberi fokus kepada pengukuhan instisusi kekeluargaan melalui aktiviti-aktiviti interaktif kekeluargaan bagi mendidik pelbagai lapisan masyarakat," kata Wan Azizah pada majlis perasmian Sambutan Hari Ibu dan Bapa Peringkat Kebangsaan 2018 di Dewan 2020 di sini hari ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli berangkat hadir menyempurnakan majlis sambutan Hari Ibu dan Bapa itu yang bertemakan Ibu dan Bapa Anugerah Terindah.

Turut berkenan berangkat hadir, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Dalam pada itu, Wan Azizah yang juga merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, semua pihak harus menghargai jasa dan pengorbanan insan yang bergelar ibu dan bapa setiap masa.

 "Hargailah mereka walaupun hanya melalui perbualan telefon, ucapan sayang, pelukan, ciuman keluarga dan ingatan kepada mereka," katanya. - K! ONLINE