Beliau juga memberi jaminan kerajaan mahu terus kekal sebagai negara dagangan mesra perniagaan, satu konsep persyarikatan Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan. 

"Kita berhasrat membina ekonomi Malaysia dengan bantuan pelabur dari dalam dan luar negara. Kita juga mahu melihat peningkatan permodalan pasaran saham. Kita mahu memberi tahu ahli perniagaan yang mereka boleh menaikkan harga (saham) mereka dalam pasaran saham," katanya kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh malam tadi. 

Dr Mahathir berkata kerajaan akan berusaha untuk menjadikan ringgit sekukuh yang mungkin. "Kita tidak mahu menyebabkan penurunan nilai ringgit yang akan menjadikan  mata wang itu tidak  kompetitif. Kita akan berusaha menjadikan ringgit kompetitif," katanya. 

Perdana Menteri juga berjanji kerajaan baharu itu akan menstabilkan harga minyak, yang turun naik setiap minggu. 

"Kita tidak mahu harga minyak diselaraskan dan ia amat mengganggu. Kita harap rakyat akan menghargainya kerana kita sama-sama sayangkan negara ini dan kita bukan berjuang untuk wang," katanya. 

Semasa sesi soal jawab, Dr Mahathir berkata kerajaan akan menumpukan kepada masalah kewangan yang memburuk, iaitu jumlah yang dihutang oleh kerajaan sebanyak RM800 bilion dan ini tidak termasuk beberapa jumlah yang tersembunyi.

"Kita percaya kita akan  mendapat balik kebanyakan daripada wang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kita ada ramai pakar yang akan menangani isu ini. KIta percaya wang itu disembunyikan di Amerika Syarikat, Singapura, dan dengan Jho Low (Low Taek Jho).

"Kita mahu meningkatkan keyakinan pelabur dengan memerintah kerajaan mengikut undang-undang," katanya. 

Ditanya sama ada beliau boleh mencapai atau mengatasi pentadbiran kerajaan sebelum ini untuk mencatatkan pertumbuhan 5.8 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK),  Dr Mahathir berkata: "Saya percaya saya boleh mencubanya. Saya ada pengalaman selama 22 tahun. Ketika negara mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk, ekonomi pulih. Kita berjaya menguruskannya dengan baik dan saya dapat menyelesaikan masalah ekonomi." 

Mengenai perkara lain, Dr Mahathir juga menekankan keutamaan kerajaan adalah untuk mengurangkan hutang negara. - Bernama