Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, rakyat berhak untuk dilindungi oleh undang-undang yang adil dan bukannya bersifat zalim kepada rakyat seperti yang dilaksanakan kerajaan terdahulu.

“Sebagai contoh undang-undang SOSMA yang mana membolehkan kerajaan tangkap sesiapa sahaja tanpa bawa ke mahkamah. Kita (Pakatan Harapan) akan ikut undang-undang supaya rakyat tidak ditindas dengan kerajaan yang tidak peduli tentang undang-undang negara.

"Undang-undang Najib, jika tahanan mati, tidak akan ada inkuiri. Apa kesalahan dilakukan akan ditentukan oleh mahkamah dan mahkamah jugalah yang tentukan siapa salah,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kempen Tabung Harapan Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Terdahulu, majlis anjuran Gabungan Persatuan Cina Klang itu dihadiri kira-kira 3,000 tetamu dan mereka juga berjaya mengumpulkan derma berjumlah RM3,479,100 untuk disalurkan kepada Tabung Harapan.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, kerajaan yakin dapat menyelesaikan masalah yang ditinggalkan Barisan Nasional (BN) meskipun kerosakannya amat besar kerana mendapat sokongan kuat daripada rakyat.

"Malam ini jelas ramai yang hadir untuk derma Tabung Harapan. Walaupun kita dapat hanya berjuta, tapi yang penting kesanggupan rakyat untuk berkorban demi negara.

"Ini adalah negara kita, rumah kita, kita di lahirkan dan membesar di negara ini, sebab itu kita sayang negara ini," ujarnya. - K! ONLINE