Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk, Seri Mustapa Mohamed berkata, projek tebatan banjir sepanjang kira-kira 26 kilometer yang menelan kos RM300 juta itu sepatutnya dirasmikan pembinaannya dalam masa terdekat.

"Kita akan mengadakan pertemuan antara penduduk serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memberi penerangan berhubung projek itu.

"Peruntukan untuk projek tersebut telah diluluskan, namun pembinaannya terpaksa ditangguhkan hingga masalah ini selesai," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan calon Barisan Nasional (BN) Tumpat di sini hari ini.

Disember lepas, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr, Hamim Samuri dilaporkan berkata, Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Golok bermula di Pengkalan Kubor hingga ke Kuala Jambu di Tumpat bermula awal tahun ini bagi mengatasi masalah 'banjir termenung' di jajahan itu.

Banjir termenung merujuk kepada fenomena air tidak dapat mengalir keluar melalui sistem saliran, sebaliknya bertakung untuk satu tempoh lama.

Beliau dipetik sebagai berkata, tebatan setinggi satu dan tiga meter itu dijangka mula dibina mulai Februari tahun ini dan dijadualkan siap dalam masa dua tahun setengah. - Bernama