PKR memperoleh 36 kerusi menewaskan Barisan Nasional (19) dan Pas (1) dalam keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pukul 2.30 pagi. 

Naib Presiden Pakatan Harapan (PH) Johor, Salahuddin Ayub berkata, menerusi pengumuman SPR sebentar tadi, keputusan tersebut bermakna PH boleh membentuk kerajaan negeri selepas PRU-14 ini.

“Mandat yang diberikan oleh rakyat akan dijalankan dengan sebaiknya, jika mandat ini tidak dijalankan sebaik mungkin, rakyat akan membalas balik pada PRU akan datang.

“PH yang menjadi kerajaan akan menggunakan kudrat sepenuhnya untuk menjalankan tanggungjawab yang diberikan rakyat,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Thistle di sini hari ini.

Salahuddin menambah, penentuan jawatan bagi Menteri Besar di negeri ini akan ditentukan pada tengah hari selepas Presiden PH, Tan Sri Muhyidddin Yassin mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk memohon perkenan penubuhan kerajaan baharu.

“Sebelum itu, jawatan Menteri Besar akan dibuat selepas persetujuan Majlis Presiden PH dengan rundingan PH negeri. Selepas itu Tan Sri Muhyidddin Yassin akan mengadap Sultan Johor untuk minta perkenan,” jelasnya.

Difahamkan terdapat tiga nama yang telah disenaraikan untuk memegang jawatan Menteri Besar dan pengumuman akan dibuat oleh Muhyidddin pada sidang akhbar yang dijangka hari ini.

PKR menang bagi kerusi DUN Mengkibol, Jementah, Pemanis, Pekan Nanas, Semerah, Bukit Naning, Simpang Jeram, Bentayan, Serom, Tangkak, Gambir, Kemenlah Pemanis, Kota Iskandar, Tenang, Bekok, Pulai Sebatang, Bukit Kepong, Maharani, Senggarang dan Penggaram

Selain itu, Bukit Permai, Bukit Batu, Puteri Wangsa, Tiram, Kempas, Perling, Paloh, Permas, Johor Jaya, Parit Yaani, Larkin, Stulang, Bukit Naning, Yong Peng dan Mahkota.

BN pula menang bagi kerusi DUN Rengit, Panti, Kahang, Sungai Balang, Benut, Buloh Kasap, Kukup, Endau, Machap, Layang-Layang, Parit Raja, Penawar, Johor Lama, Semarang, Tanjung Surat, Sri Medan, Sedili dan Tenggaroh manakala Pas peroleh Bukit Pasir.

Bagi kerusi Parlimen PKR menang bagi Tebrau, Kulai, Batu Pahat, Simpang Renggam, Pulai, Muar, Pagoh, Pasir Gudang, Sri Gading, Labis, Segamat, Tanjung Piai, Iskandar Puteri, Kluang, Sekijang, Johor Bahru dan Bakri, BN pula menang bagi Tenggara, Pontian, Sembrong, Mersing, Parit Sulong, Pengerang, Kota Tinggi dan Ayer Hitam. - K! ONLINE