Pengerusi PPBM Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, para pemimpin PH negeri akan memohon perkenan Sultan Perak bagi membentuk kerajaan negeri atas dasar gabungan parti mereka mempunyai majoriti paling banyak berbanding BN dan Pas. 

"Kita berjaya mendapat majoriti paling banyak iaitu 29 kerusi DUN dan secara umumnya PH berjaya menawan Perak daripada BN. 

"Pemimpin PH akan memohon perkenan untuk tubuh kerajaan negeri dan mendapat sembah nasihat daripada baginda," katanya pada sidang akhbar di sini sebentar tadi. 

Di atas kertas, sesebuah parti yang bertanding boleh menubuhkan kerajaan memerintah apabila memenangi kerusi DUN dengan majoriti dua pertiga atau majoriti mudah. 

Berdasarkan situasi semasa, PH hanya memperoleh 29 kerusi DUN dan mereka kurang satu kerusi bagi membentuk kerajaan berdasarkan majoriti mudah. 

Tambah Ahmad Faizal, pihaknya akan mengadap Sultan Perak dan mendapatkan nasihat baginda terlebih dahulu sebelum memikirkan kemungkinan lain yang bakal berlaku. 

"Kami tidak akan membincangkan kemungkinan apa yang bakal berlaku esok dan apa yang penting para pemimpin PH negeri akan mengadap Tuanku Sultan di istana baginda terlebih dahulu," katanya. - K! ONLINE