Nuru Izzah yang memperolehi 35,534 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said yang memperolehi 19,866 undi dan Afnan Hamimi Taib Azamudden dari Pas (14,428 undi).

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, penyandangnya dari PKR, Dr. Afif Bahardin menang dengan majoriti 7,421 undi. Beliau memperolehi 16,014 undi bagi mengalahkan calon BN iaitu Abu Bakar Sidekh Zainul Abidin (8,593 undi) dan Ahmad Rafaei A. Rashid dari Pas (5,540 undi).

Kerusi DUN Permatang Pasir dimenangi calon PKR, Muhammad Faiz Fadzil (9,708 undi) dengan majoriti 2,981 undi, mengalahkan Mohammad Fauzi Yusoff (Pas) (6,727 undi) dan Anuar Faisal Yahaya (BN) (4,979 undi).

DUN Penanti pula menyaksikan penyandangnya Dr. Norlela Ariffin dari PKR yang memperoleh 8,221 undi, menang dengan majoriti 2,944 undi mengalahkan calon BN, Suhaimi Sabudin (5,277 undi) dan calon Pas, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (4,791 undi).

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd. Ali Sebran di dewan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam di sini.

Pada PRU lalu, Parlimen Permatang Pauh disandang Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperoleh majoriti 11,721 undi sebelum diambil alih isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Pilihan Raya Kecil 2015 dengan majoriti 8,841 undi. - K! ONLINE