Gabungan parti pembangkang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi sebanyak 20 kerusi DUN sekali gus layak untuk membentuk kerajaan negeri. 

Rekod dalam talian Suruhanjaya Pilihan  Raya (SPR) melaporkan pembangkang menang di DUN Chennah, Klawang, Bahau, Lenggeng, Nilai, Lobak, Temiang, Sikamat, Ampangan, Pilah, Labu, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya, Paroi, Chuah, Lukut, Sri Tanjung dan Repah. 

BN pula memenangi DUN Pertang, Sungai Lui, Serting, Palong, Jeram Padang, Juasseh, Seri Menanti, Senaling, Johol, Chembong, Rantau, Kota, Bagan Pinang, Linggi, Gemas dan Gemecheh. 

Bagi kerusi Parlimen pula, BN hanya mampu mempertahankan kerusi Jelebu, Jempol, Rembau, manakala kerusi Parlimen Seremban, Kuala Pilah, Rasah, Port Dickson dan Tampin dimenangi gabungan parti pembangkang menggunakan logo PKR. 

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menemui penyokongnya yang berkumpul di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan kira-kira pukul 12.30 malam tadi mengucapkan terima kasih diatas sokongan mereka. 

"Terima kasih semua atas sokongan," katanya ringkas sebelum memasuki semula Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan di sini. 

Tinjauan Kosmo! mendapati sebilangan anggota polis mengawal kediaman tersebut dan Wisma Negeri bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. 

Penyokong pembangkang sejak pukul 8 malam tadi dilihat berkumpul di hadapan Wisma Negeri sambil diawasi oleh pihak polis. - K! ONLINE