Ahli majlis tersebut yang juga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, perkara tersebut masih dalam proses perbincangan dan akan dimuktamadkan segera seperti yang disenaraikan dalam manifesto kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Buat masa ini, ahli majlis sedang mendengar penerangan daripada pelbagai pihak termasuk syarikat pemegang konsesi lebuh raya dan pemegang saham.

“Kami komited untuk mencari langkah penyelesaian terbaik demi keselesaaan rakyat negara ini,” katanya selepas Mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham di sini hari ini.

Menurut Zeti, pengumuman gembira tersebut akan diumumkan sendiri oleh ketua Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Mesyuarat yang bermula pukul 10.30 pagi itu berakhir kira-kira 4.30 petang dengan pelbagai isu dibincangkan berkaitan isu pemansuhan tol.

Turut hadir bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican; ahli ekonomi, Jomo Kwame Sundaram; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar serta wakil Tan Sri Robert Kuok, Tan Sri Oh Siew Nam. - K! ONLINE