Menteri berkenaan, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, undang-undang sedia ada berkaitan penjagaan sungai yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dilihat tidak lagi relevan untuk diguna pakai pada masa kini.

"Kementerian akan memperkenalkan undang-undang baharu dalam usaha memastikan kebersihan sungai terpelihara.

"Selain itu, kementerian turut bercadang memperkenalkan silibus pendidikan alam sekitar secara berperingkat di sekolah rendah dan menengah bagi memberi kesedaran kepada golongan pelajar mengenai kepentingan menjaga kebersihan sungai," katanya pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor yang ingin tahu bagaimana negara dapat mencapai tahap kebersihan sungai yang tinggi seperti yang dilihat di negara maju. - Bernama