Menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, terdapat kekeliruan yang berlaku dalam laporan media berhubung kenyataan Mohamad berhubung akta itu dalam sesi wawancara bersama media  Khamis lepas.

"Kajian semula yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan adalah merujuk kepada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan bukannya Akta MKN seperti yang dilaporkan," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, program PLKN sedang dikaji semula dan akan diputuskan oleh kabinet dalam tempoh terdekat.

Beberapa media dan portal berita tempatan melaporkan Mohamad sebagai berkata, walaupun janji pilihan raya Pakatan Harapan untuk menghapuskan Akta MKN 2016, namun kementeriannya akan mengkaji semua akta itu agar ia tidak menjadi alat politik pihak tertentu kelak.

Hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan sebagai berkata Akta MKN 2016 adalah antara undang-undang yang sedang dikaji oleh kerajaan untuk dipinda ataupun dimansuhkan. 

Kajian itu, kata Dr. Mahathir, dibuat memandangkan ada di antaranya yang digunakan kerajaan terdahulu untuk menyekat kebebasan rakyat. - Bernama