Walaupun ia sekadar kenaikan RM50 di Semenanjung dan RM130 di Sabah dan Sarawak, ia pasti membawa kegembiraan buat pekerja swasta yang sentiasa mengharapkan kenaikan kadar gaji minimum.

Kerajaan hanya dapat memberi kenaikan gaji sebanyak itu berikutan situasi ekonomi semasa negara dengan ia kini bergelut menangani beban hutang besar selepas mengambil alih pentadbiran negara daripada kerajaan terdahulu pada Mei lepas.

Namun, kerajaan memberi jaminan bahawa kadar itu akan dinaikkan kepada RM1,500, seperti yang dijanjikannya sebelum ini, apabila keadaan ekonomi negara bertambah baik pada masa depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming berkata kerajaan komited untuk menunaikan janjinya itu dalam masa lima tahun lagi dan akan terus menjalankan kajian semula gaji minimum setiap dua tahun.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa pelaksanaan gaji minimum seragam itu diputuskan selepas Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) selesai membuat kajian semula terhadap Perintah Gaji Minimum 2016 seperti yang diperuntukkan Seksyen 25, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta732).

 "Kita harus waspada bahawa sebarang peningkatan gaji yang drastik bakal menimbulkan masalah lain kepada industri yang juga boleh menggugat daya saing negara.

"Adalah lebih wajar jika gaji minimum dinaikkan secara berkala dalam tahun-tahun akan datang supaya industri terutamanya majikan kecil, tidak menutup perniagaan mereka akibat kos operasi yang tinggi yang bakal menyebabkan pemberhentian pekerja," kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu.

Bagi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), pelaksanaan gaji minimum seragam itu adalah 'kemenangan' yang dinantikan pihaknya sejak sekian lama.

"Penyelarasan kadar gaji di seluruh Malaysia telah diperjuangkan MTUC sejak dahulu lagi. Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan yang melaksanakan kenaikan ini," kata Presidennya Datuk Abdul Halim Mansor.

Walaupun tuntutan gaji minimum sebanyak RM1,500 tidak dapat dipenuhi, beliau berharap  kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian gaji minimum sekurang-kurangnya RM1, 200 seperti yang dinikmati penjawat awam masa kini. - Bernama