Dalam kebakaran kira-kira pukul 2.04 petang itu, sebuah rumah kayu setingkat yang didiami sembilan sekeluarga terbabit telah musnah terbakar 100 peratus.

Pemilik rumah berkenaan, Saodah Asma, 60-an, berkata, semasa kejadian dia bersama cucunya sedang menonton televisyen.

Bagaimanapun katanya, dia dikejutkan dengan jeritan anaknya yang mengatakan bahagian dapur kediaman mereka telah terbakar.

"Saya segera membawa anak-anak dan cucu saya keluar kerana api marak dengan begitu cepat menjilat rumah pusaka keluarga kami.

"Tidak boleh kata apa lagi, semua harta benda habis sekelip mata, namun saya bersyukur kerana kami sekeluarga terselamat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasann berhubung kejadian tersebut pada pukul 2.05 petang.

Katanya, sepasukan 23 anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan, BBP Batu Lintang dan BBP Petra Jaya kemudian diarahkan ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi memadam kebakaran.

"Sebaik tiba di lokasi kebarakan, komander operasi melaporkan rumah berkenaan telah musnah terbakar dan anggota bomba hanya mengawal api daripada merebak.

"Punca kebakaran dan anggaran kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam siasatan," katanya. - K! ONLINE