Menterinya, Khalid Abdul Samad bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu dan sebaliknya meminta orang ramai menunggu pendedahan kes tersebut yang dikesan pihaknya sebulan lepas.

Beliau berkata, siasatan pihaknya antara lain mengesan terdapat kebenaran merancang yang diluluskan untuk pembinaan seperti bangunan pejabat di atas tanah kerajaan.

"Bagaimana boleh bina bangunan atas tanah kerajaan menjadi kepelikan. Saya diberitahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telahpun mengeluarkan notis mengosongkan bangunan (yang dibina atas tanah kerajaan).

"Sama ada robohkan ataupun tidak kita akan runding dengan pihak yang membina," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini. - Bernama