Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, kementerian tidak pernah memberi jaminan mengambil kesemua pemohon itu dalam pasukan Wataniah.

"Fakta berkenaan tidak benar. Pihak Kementerian bersetuju untuk mengkaji semula permohonan-permohonan itu supaya mereka yang memenuhi syarat kemasukan tetapi tercicir sebelum ini boleh dipertimbangkan semula," menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu turut memaklumkan, keutamaan kemasukan ke perkhidmatan sukarela Wataniah diberikan kepada calon-calon yang mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV)/Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) atau setaraf atau tamat tingkatan 5.

Namun, pihak Wataniah juga mempertimbangkan calon-calon yang memiliki Sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan 3 atau sekurang-kurangnya tamat tingkatan 3 di sekolah bantuan kerajaan serta boleh bertutur, membaca dan menulis dalam Bahasa Malaysia dengan memuaskan.

"Kelonggaran ini diberi tanpa mengira kaum dan agama," menurut kenyataan itu. - Bernama