Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya buat masa ini menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kes tersebut.

Kata beliau, tindakan lanjut akan diambil setelah pihaknya selesai meneliti laporan polis tentang hasil siasatan kes berkenaan.

"Kita serah kepada polis dan setakat ini polis belum beri maklum balas kepada Jabatan Pendidikan negeri," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kolej Sultan Abdul Hamid di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu rakaman memaparkan seorang pelajar sebuah sekolah menengah di Shah Alam yang rela dirinya dibelasah sebagai simbolik bagi meraikan sambutan hari lahir yang tular di laman sosial baru-baru ini. - K! ONLINE