Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Lau yang ditahan di Penjara Pusat Ras Al Khaimah (RAK) dibebaskan pada 4.30 petang waktu tempatan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, Lau akan terus berada di UAE bagi mengikuti perbicaraan di mahkamah sehingga kes tersebut selesai.

“Pegawai-pegawai Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai telah berada di RAK bagi membantu urusan pembebasan Lau,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Anifah berkata, kerajaan Malaysia menghargai hubungan erat di antara Malaysia dengan Kerajaan UAE dan ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan UAE.

“Penghargaan diberikan kepada Kementerian Luar Negeri UAE, Pemerintah Ras Al Khaimah, Kementerian Perundangan UAE, Jabatan Perundangan RAK dan pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi serta Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai atas pembebasan Lau,” ujarnya.

Jelas beliau, semangat persaudaraan dan kesepakatan yang telah ditunjukkan oleh kerajaan UAE dalam membantu menyelesaikan masalah melibatkan warganegara Malaysia di UAE adalah hasil diplomasi di peringkat tertinggi.

“Kerajaan Malaysia senantiasa menitikberatkan kebajikan warganegaranya yang menghadapi masalah di luar negara. 

“Kerajaan komited dalam memastikan setiap warganegara Malaysia mendapat bantuan konsular yang sewajarnya selaras dengan Konvensyen Vienna berkaitan Hubungan Konsular 1963 (VCCR 1963) dan peruntukan undang-undang tempatan,” katanya. - K! ONLINE