Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, memang menjadi dasar kerajaan baharu untuk memastikan semua kerajaan negeri mendapat layanan yang adil dan pada masa yang sama meningkatkan urus tadbir yang lebih cekap, bertanggungjawab dan telus.

"Cadangan untuk menimbang peruntukan yang diberikan kepada negeri-negeri tertakluk kepada Perkara 109 (1) (Pemberian kepada Negeri) Perlembagaan Persekutuan. Sebarang cadangan perlu dibawa kepada Majlis Kewangan Negara untuk rundingan.

"Saya bersetuju dengan pandangan tentang perlunya kita melihat semula dan dalam aspek ini kerajaan persekutuan rela menimbang cadangan-cadangan yang disyorkan," katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PH-Jerlun) mengenai cadangan untuk menilai semula hubungan kewangan dengan kerajaan negeri berkaitan perkongsian hasil kutipan cukai.

Lim turut memberitahu persidangan dewan bahawa bagi 2017, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan dana sebanyak RM6.9 bilion kepada 13 kerajaan negeri termasuk pemberian penyelenggaraan  jalan negeri  dan pemberian kekurangan akaun mengurus.

Sementara itu, hutang-hutang kerajaan negeri kepada kerajaan pusat sehingga April tahun ini berjumlah RM17.64 bilion. - Bernama