Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, bayaran itu adalah separuh daripada RM5 juta pakej gaji Arul bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

"Kita tidak meluluskan pembayaran RM2.5 juta itu dan tindakan guaman akan diambil untuk mendapatkan balik, malah kami juga sedang mengkaji tindakan lain agar apa-apa keputusan dibuat yang dilihat merugikan 1MDB boleh dituntut balik daripada beliau (Arul)," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Lim berkata tuntutan sivil itu akan dilakukan firma guaman yang dilantik, dan pihaknya juga telah memaklumkan kepada Pejabat Peguam Negara berhubung perkara tersebut.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan pakej gaji RM5 juta yang diberi kepada Arul Kanda.

Bekas perdana menteri itu berkata berkata Arul sebenarnya mendapat gaji lebih rendah ketika berkhidmat dengan 1MDB berbanding jumlah yang diterimanya ketika bertugas dengan sebuah bank di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Dalam pada itu, Lim turut mendakwa, tiada rekod yang menunjukkan Arul mendapat gaji yang lebih tinggi sebelum dilantik menjadi presiden dan ketua pegawai eksekutif 1MDB.

"Saya mahu tanya adakah Arul Kanda mendapat RM10 juta setahun sebelum beliau menjadi Presiden 1MDB? Saya tidak ada rekod yang menyatakan demikian," katanya sambil meminta Najib mengemukakan rekod gaji Arul terdahulu sekiranya ada. - Bernama