Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, mangsa berusia 61 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri kira-kira pukul 9 pagi di Hotel Shangrila Tanjung Aru di sini hari ini.

Menurut Ramli, hasil pemeriksaan pasukan polis di lokasi mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah.

"Mangsa telah menginap di hotel sejak 31 Julai lalu bersama kenalan. Kali terakhir mereka berjumpa pada pukul 10.40 malam semalam selepas selesai makan malam.

"Difahamkan, mangsa sempat mengucapkan ucapan Selamat Pagi di kumpulan WhatsApp kira-kira pukul 5 pagi hari ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ramli berkata, pekerja hotel terpaksa membuka pintu bilik mangsa selepas dia gagal dihubungi.

Mahadzir disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth dekat sini.

"Mangsa berkemungkinan meninggal dunia akibat sakit yang pernah dialaminya. Walau bagaimanapun siasatan terperinci akan dilakukan," ujar Ramli. - K! ONLINE