Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, punca kematian itu berdasarkan bedah siasat yang dijalankan selama lima jam oleh Jabatan Forensik Hospital Melaka yang berakhir pukul 1.05 pagi hari ini. 

"Laporan perubatan menyatakan tiada sebarang unsur jenayah mahupun kejadian tersedak susu seperti didakwa sebelum ini.

"Punca kematian bayi ini (Yusof) adalah berpunca daripada jangkitan kuman ada paru-parunya," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. 

Menurut Afzanizar, pihak hospital masih meneliti rekod perubatan bayi tersebut untuk mengenal pasti sama ada mangsa mempunyai sebarang masalah kesihatan sejak lahir. 
 
"Pihak polis juga akan merakam percakapan ibu bapa bayi Yusof untuk mengetahui tahap kesihatan anak mereka," katanya.

Jelasnya, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Kosmo! hari ini melaporkan seorang bayi empat bulan yang merupakan anak pasangan guru wanita dan polis maut dipercayai tersedak susu di sebuah Taska di Bukit Baru semalam.

Kejadian diketahui oleh ibu bayi berkenaan pada pukul 12 tengah hari selepas menerima panggilan daripada pihak taska yang memaklumkan anaknya yang kebiruan dipercayai tersedak susu lalu membawanya ke hospital. - K! ONLINE