Ketua pengarahnya Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, sepanjang 2017, sebanyak 700 kes kematian akibat kecuaian di dalam air direkodkan di seluruh negara berbanding 150 kes kematian akibat kebakaran.

"Kita memberi perhatian serius dalam perkara ini dan sentiasa mengadakan Kempen Keselamatan Di Air terutama kepada pelajar sekolah kerana kebanyakan mangsa lemas berusia 18 tahun ke bawah. Kes lemas dilihat sebagai kes traumatik dan sering kali berlaku ketika perkelahan keluarga," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan Terpuji Tahun 2017 kepada 126 pegawai dan anggota agensi itu di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan meletakkan papan tanda amaran terutama di kawasan tumpuan awam seperti tasik, sungai, air terjun dan pantai.

Katanya tahun ini, sebanyak 12 kematian akibat lemas dicatatkan di Kelantan sejak Januari hingga semalam. - Bernama