Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, tujuh kenderaan yang terbabit adalah dua kenderaan pelbagai guna (MPV), tiga kereta, sebuah treler pengangkut kenderaan dan sebuah bas ekspres.

Tiga yang maut ialah pemandudan penumpang MPV Perodua Alza iaitu Nur Fitrah Rosman, Nurbaya Mohd. Zaki dan Muhamad Hafiz Shahrul Jefri Din yang kesemua berusia 24 tahun.

Kesemua mangsa dari Ipoh, Perak dalam perjalanan bertemu rakan di Kuala Lumpur.

Seorang lagi mangsa ialah pemandu MPV Toyota Vellfire, Noorakhirludin Alam Mohamad. Noor, 47.

Mangsa yang parah pula ialah anak Noorakhirludin, Ezzudin, 11.

Pemandu treler tersebut, Mohamad Asri Ismail,45, patah tangan dan kini dirawat di hospital manakala dua  lagi cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superitendan Azman Shari’at berkata,  kejadian berlaku apabila treler yang dipandu ke arah utara berlanggar dengan kereta Perodua Myvi dan kemudian berlanggar dengan kereta Nissan Almera.

“Akibatnya, treler tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke laluan arah selatan dan melanggar bahagian belakang bas ekspres.

“Tiga lagi kenderaan iaitu MPV Vellfire, kereta Perodua Alza dan kereta BMW tidak sempat mengelak treler tersebut yang datang ke arah mereka sehingga berlanggar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman menambah, pihak bomba telah membantu mengeluarkan kesemua mangsa yang tersebut.

“Mangsa yang meninggal dunia telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh di sini bagi urusan bedah siasat.

“Kesemua waris juga telah hadir untuk tujuan pengecaman mayat mangsa.

“Ujian darah dan air kencing telah dijalankan terhadap pemandu treler dan masih menunggu keputusannya,” ujarnya.

Kes disiasat  mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menjadi saksi bebas dan mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Mohd. Rohaizad Hashim di talian 012-2924420. - K! ONLINE