Pasukan pencari dan penyelamat berjaya menemui mayat Shahir Aqil Shahrun, 19, sewaktu melakukan kerja-kerja pencarian di permukaan pantai pada pukul 4.30 pagi.

Shahir Aqil merupakan atlet silat Terengganu dijadual menyertai Sukan Malaysia 2018 yang bakal berlangsung di Perak pada bulan depan.

Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, mayat Shahir Aqil yang merupakan  pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Sultan Ibrahim, Johor tersebut dijumpai pada kedudukan kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat selepas pengecaman dilakukan oleh ahli keluarganya.

"Operasi mencari dan menyelamat dua mangsa lain (Khairil Ikmal Danial Zamzuradi dan Ahmad Daniel Firdaus Zubir) akan diteruskan pada pagi ini," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan keriangan tujuh remaja menghabiskan cuti Hari Raya Aidiladha dengan mandi-manda di Pantai Teluk Kalong di sini semalam berakhir dengan tragedi apabila tiga daripada mereka hilang dikhuatiri lemas.

Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, sewaktu kejadian, ketiga-tiga mangsa sedang mandi-manda bersama empat rakan lain pada kedudukan 15 hingga 30 meter dari Pantai Teluk Kalong dekat sini pada pukul 6.23 petang.

"Sewaktu mereka sedang leka mandi-mandi tiba-tiba datang ombak besar. Empat daripada mereka sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai manakala tiga lain dihanyutkan arus deras," katanya. - K! ONLINE