Ibu Muhammad Afiq, Norma Abdullah, 52, yang tinggal di Batu Mengkebang, Kuala Krai berkata, keluarganya tidak sangka kisah anak bongsu daripada dua beradik yang tular di media sosial itu mendapat perhatian khusus daripada Seri Paduka.

"Saya, suami (Ismail Abas, 56) dan ahli keluarga lain berasa terharu dan bangga apabila mengetahui kisah Muhammad Afiq mendapat pujian daripada ketua negara melalui laporan media.

"Ia satu pujian bermakna kepada kami sekeluarga terutamanya pengorbanan yang telah dilakukan Muhammad Afiq terhadap kami yang tidak berkemampuan untuk pergi ke sana memandangkan saya seorang suri rumah dan suami hanya berkerja sendiri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semalam, Seri Paduka dalam satu kenyataan dilaporkan bertitah, menzahirkan ucapan tahniah kepada Muhammad Afiq atas kejayaannya yang luar biasa.

Seri Paduka turut bertitah melahirkan rasa kagum dengan sikap Muhammad Afiq yang menghormati dan taat kepada kedua ibu bapanya selain mengagumi pengorbanan anak muda itu sehingga membolehkan beliau mencapai tahap kejayaan ini, sekaligus perjalanan hidup Muhammad Afiq dan kedua orang tuanya harus menjadi inspirasi kepada semua.

Muhammad Afiq sebelum ini dilaporkan bekerja separuh masa sehingga 20 jam seminggu dengan membahagikan masa untuk kuliah dan masa lapangnya dengan bekerja sehingga akhirnya berjaya memperoleh Ijazah Kelas Pertama (Kepujian) dalam bidang Perakaunan dan Kewangan di universiti berkenaan.

Mengulas lanjut, Norma berkata, Muhammad Afiq melanjutkan pelajaran ke luar negara menerusi tajaan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Katanya, beliau sekeluarga tidak menyangka Muhammad Afiq sanggup melakukan kerja sambilan di samping kesibukan sebagai seorang mahasiswa semata-mata mahu mencari wang supaya kedua ibu bapanya dapat hadir melihat beliau menerima Ijazahnya.

"Saya sebenarnya tidak tahu nak cakap macam mana namun bersyukur kerana dikurniakan anak yang sanggup berkorban untuk kedua-dua ibu bapanya. Muhammad Afiq juga sangat baik dengan ahli keluarga yang lain, rakan-rakan serta orang kampung.

"Muhammad Afiq juga seorang anak yang ringan tulang dan selalu membantu ayahnya di kebun jika berkelapangan selain suka bermain futsal bersama rakan-rakannya," katanya.

Norma berkata, walaupun tinggal di United Kingdom, Muhammad Afiq sering menghubunginya untuk meminta izin jika mahu ke mana-mana dan turut berpesan untuk berkongsi sebarang masalah yang dialami ketika sedang menyambung pelajaran.

Beliau berkata, ketika masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah Machang, anaknya itu tinggal di asrama dan hanya pergi kelas tambahan yang diadakan oleh pihak sekolah.

"Ketika Muhammad Afiq di rumah, saya selalu teman dia belajar walaupun saya tidak pandai mengajar dan Afiq juga belajar seperti pelajar-pelajar yang lain.

"Muhammad Afiq sudah biasa dengan kerja-kerja kampung oleh itu dia tidak kekok buat kerja tukang cuci asal kerja itu halal," katanya. - Bernama