"Kami memang sedih, tetapi apa boleh buat. Itulah ajalnya. Kami menerima dengan reda (pemergiannya)," kata ibu mangsa Zuana Laudiato, 54, ketika ditemui pemberita selepas jenazah tiba di sini hari ini.

Zuana, yang diiringi wakil Kementerian Luar ke Filipina sejak 5 April lepas, memberitahu, setibanya di pusat perubatan swasta di Zamboanga, Filipina di mana anaknya sedang bertarung nyawa dengan alat bantuan pernafasan, beliau membuat keputusan agar anaknya tidak lagi bergantung dengan alat bantuan itu.

"Arwah sudah tidak ada lagi. Hanya bergantung dengan oksigen. Memang kedatangan saya ke pusat perubatan untuk kebenaran buka alat bantuan pernafasan," katanya.

Zuana berkata, keluarganya akan menjaga balu arwah Nadin Junianti Najiri, 25, yang merupakan rakyat Indonesia, termasuk menyekolahkan tiga anak arwah masing-masing berumur 1, 5, dan 7 tahun.

"Saya puas hati kerana saya dapat melihat jasad suami saya untuk kali terakhir," kata Nadin Junianti.

Allahyarham Jari dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim di sini kira-kira 9.30 pagi tadi selepas dimandikan dan disolatkan di Surau Alfurqan Kampung Sim-Sim di sini.
Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Ariffin Asgali.

Ariffin berkata, kerajaan akan melihat keperluan keluarga mangsa dan akan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Jenazah tiba di Lapangan Terbang Sandakan kira-kira 7.50 pagi tadi dengan pesawat Malaysia Airlines.

Mangsa, seorang nelayan, diculik bersama dua lagi nelayan -- Heri Ardiansyah, 19, dan Hariadin, 45, yang kedua-duanya rakyat Indonesia, di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan pada 6 Disember lepas.

Pada 4 April lepas, Allahyarham Jari terkena tembakan anggota Abu Sayyaf semasa cuba melarikan diri selepas pertempuran antara kumpulan penjenayah rentas sempadan itu dengan tentera Filipina di Pulau Simusa, Sulu.

Pada keesokan harinya (5 April), dalam pertempuran antara tentera dan penculik Abu Sayyaf di laut, Hariadin dilaporkan meninggal dunia manakala Heri berjaya diselamatkan. - Bernama