Ibu Muhammad Adib, Asma Aziz, 51, berkata, wang sumbangan yang dihulurkan orang ramai kepada Allahyarham akan digunakan keluarga dengan sebaiknya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang beri sumbangan kepada Adib dan duit ini akan digunakan untuk mengerjakan haji buat Allahyarham.

"Keluarga juga mahu bersedekah, beli tanah wakaf serta membantu kerja-kerja naik taraf masjid di kampung ini atas nama Adib," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah menyerahkan sumbangan kutipan tabung #SaveAdibKassim berjumlah RM47,209.64 kepada bapa Allahyarham, Mohd. Kassim Abdul Hamid.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Hassan A'sari Omar.- K! ONLINE