Ibu mangsa, Nik Hasmani Mohamad, 44, berkata, dia mengharapkan pihak berkuasa menjalankan siasatan punca kejadian yang mengakibatkannya kehilangan satu-satunya anak lelaki daripada empat beradik itu berlaku.

“Macam mana kejadian ini boleh berlaku? Macam mana tiada orang dewasa dalam bas? Hanya murid sekolah sahaja, tiada cikgu pun dalam bas. Cikgu tidak ikut kerana penganjurnya orang lain.

“Saya memberi kebenaran Adam (nama manja mangsa) mengikuti program ini kerana fikirkan pelajarannya, lagi pun Adam ada ujian percubaan minggu depan,” katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui di sini malam tadi.

Suri rumah itu ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baka di sini selepas jenazah murid Sekolah Kebangsaan Tok Bok itu selamat dikebumikan.

Dia serta tiga anak perempuannya iaitu Wan Nurfazleen Amirah, 22; Wan Nurfazreen Athirah, 18, dan Wan Nurfaresya Amanda, 15, dilihat tidak dapat menahan perasaan sebaik jenazah Adam dimasukkan ke liang lahad.

Nik Hasmani berkata, antara detik terakhir yang akan menjadi kenangannya bersama Adam adalah dia meminta anak lelakinya itu agar cemerlang dalam ujian percubaan UPSR minggu depan.

“Dia anak yang aktif dalam segala aktiviti di sekolah, minggu depan nak percubaan, saya pesan kalau boleh dapat 3A atau 4A. Dia tak kata apa kemudian dia belajar sebelum pergi bermain.

“Dia anak yang manja kalau baring atau tidur dekat-dekat mesti kepalanya atas riba saya,” ujarnya.

Sementara itu, kakak Wan Mohammed Adam, Wan Nurfazleen Amirah berkata, dia tidak teragak-agak untuk menyaman pihak yang terlibat sekiranya wujud unsur cuai dalam kejadian meragut nyawa adik bongsunya itu.

“Kena ambil tindakan kepada penganjur dan syarikat bas (sekiranya cuai), pihak mereka tidak ambil tahu bas apa yang ditempah. Pihak polis juga perlu siasat sama ada bas itu mempunyai permit sah atau tidak.

“Tindakan saman juga perlu sebab takut kejadian sama akan menimpa orang lain pula. Saya dan adik bongsu amat rapat, segala permintaannya saya berikan semua. Tidak sangka Adam pergi dalam sekelip mata,” kata pelajar sebuah kolej di Selangor itu.

Dalam kejadian pada pukul 11.50 pagi semalam, Wan Mohammed Adam, 12, maut di tempat kejadian akibat parah di seluruh badan.
 
Sebelum kejadian, seramai 31 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang berada dalam bas berkenaan sedang dalam perjalanan ke Besut, Terengganu.

Siasatan polis mendapati, mangsa bermain di bahagian hadapan sebelah kiri pemandu dan melompat di kawasan lantai reput semasa bas sekolah sedang bergerak.

Secara tiba-tiba mangsa melompat ke bahagian hadapan pintu sebelum terjatuh dan digilis menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan parah. - K! ONLINE