Beliau berkata, sejak 2013 hingga 2017, Kelantan menerima sebanyak RM363 juta bantuan kewangan defisit, yang merupakan pemberian kepada negeri-negeri yang menghadapi kekurangan wang dalam akaun mengurus.

"Pemberian tersebut disalurkan kepada Kerajaan negeri yang mengalami defisit, di mana hasil tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan mengurus seperti emolumen, sewa, utiliti dan perbelanjaan operasi yang lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng berkata kerajaan negeri bertanggungjawab untuk mengamalkan pengurusan kewangan berhemat dengan memastikan perbelanjaan tidak melebihi hasil negeri. 

"Kerajaan Negeri Kelantan diperhatikan telah mencatat defisit akaun mengurus untuk lebih daripada lima tahun berturut-turut," katanya.

Beliau berkata, tanpa bantuan pemberian defisit daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Kelantan tidak akan mampu untuk menampung bayaran emolumen kepada kakitangan kerajaan negeri. - Bernama