Beliau berkata tindakan itu boleh dikenakan terhadap pesalah warga tempatan dan orang luar yang datang ke negeri ini.

Lelaki yang berpakaian atau berlagak seperti pondan adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pentauliahan Peguam Syarie di Jabatan Syariah, Tunjong di sini, hari ini.

Bagaimana pun beliau tidak pasti undang-undang negeri ini berkenaan pondan sama dengan negeri lain tetapi yang beliau pasti, undang-undang negeri ini jelas mengatakan sesiapa yang berpakaian atau berlagak seperti pondan di tempat awam boleh didenda atau dihukum penjara di bawah enakmen itu.

"Terpulang kepada mereka (lelaki itu) jika mereka ingin kelihatan seperti perempuan di rumah mereka tetapi jangan di tempat awam, ia adalah satu kesalahan serius," katanya.

Daud percaya pondan masih wujud di Kelantan kerana beberapa faktor termasuk pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan serta kurang perhatian daripada ibu bapa kepada anak-anak mereka.

"Golongan ini wujud di negeri ini tetapi saya tidak pasti jumlah sebenar mereka. Semasa saya berkhidmat sebagai ketua penguatkuasa agama negeri, terdapat antara 40 hingga 70 pondan di negeri ini.

Itu dalam tahun 1980-an dan untuk mendidik mereka, kami sentiasa mengadakan dialog dan juga kaunseling sepanjang masa. Sekarang ini saya percaya bilangan mereka mungkin berkurangan dari tahun 80- an," katanya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa kekurangan dalam menjalankan operasi oleh pihak berkuasa tempatan boleh mendorong pondan bebas mengadakan aktiviti mereka. - Bernama