Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock berkata, isu kekurangan guru bahasa Inggeris sudah lama meruncing dan berlarutan tanpa penyelesaian. 

"Kementerian harus selesaikan isu ini dahulu sebelum berusaha meningkatkan tahap kepakaran dan profesiensi guru bahasa Inggeris. Malahan, NUTP merasakan menteri pendidikan dan timbalannya tidak diberi fakta sebenar mengenai isu ini.

"Sebagai contoh, jumlah guru bahasa Inggeris di SK Malu Jitra, Kedah sepatutnya 14 orang tetapi hanya lapan orang yang merupakan guru opsyen bahasa Inggeris dan selebihnya guru bukan opsyen bahasa Inggeris.

"Oleh itu, kami berharap kementerian mengkaji semula isu ini demi masa hadapan murid agar mereka mendapat pendidikan bahasa Inggeris secukupnya dan sekali gus menguasai bahasa itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Arahan supaya guru yang mengajar bahasa Inggeris menduduki peperiksaaan MUET dikeluarkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin dalam pekeliling pada 14 April lalu, bagi melihat semula tahap penguasaan bahasa Inggeris selari dengan keperluan yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Tan turut menjelaskan, sehingga kini pihak Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris, Malaysia (ELTC) dan English Language Standard Quality Council (ELSQC) masih tidak memberi maklum balas mengenai isu ini. 

"NUTP mahu tahu bagaimana cara mereka menangani isu kekurangan guru bahasa Inggeris. Ini kerana, ELTC telah menjalankan pelbagai kajian dan penyelidikan dengan kos jutaan ringgit yang ditanggung kerajaan bagi memperkasa bahasa Inggeris namun pencapaian murid sehingga kini masih rendah," katanya. - Bernama