Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, ini kerana nama Kampung Baru memiliki nilai sejarah dan warisan tersendiri yang perlu dikekalkan. 

"Saya berharap agar kampung ini walaupun dibangunkan tapi akan dibangunkan dengan keunikan Kampung Baru itu, jangan hilang nama Kampung Baru itu, jangan jenamakan, contoh macam sebelum ini  Kampung Kerinchi jadi Bangsar South," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Pakatan Harapan Parlimen Titiwangsa di Kampung Baru di sini hari ini. 

Pada 22 April lepas, Menteri Wilayah, Khalid Samad dipetik sebagai berkata kerajaan memerlukan dana RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah di Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan sistematik orang Melayu di tengah ibu kota.

Katanya, dana itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau 'runcit' oleh pemilik tanah bersama pemaju. - Bernama