Seperti dijangka, jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee merombak kesebelasan utamannya dengan melakukan lapan pertukaran berbanding ketika skuad negara mencatat kemenangan bersejarah ke atas Korea Selatan minggu lalu.

Pada perlawanan tersebut, Bahrain memulakan aksi garang dengan memperoleh dua peluang keemasan menerusi penyerang, Sanad Ahmed tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol negara, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Skuad muda Harimau Malaya terlebih dahulu menembusi gol pasukan Asia Barat itu selepas pemain Selangor, Syahmi Safari menjaringkan gol cantik di luar kotak penalti pada minit ke-20.

Pasukan negara berpeluang untuk melebarkan kelebihan gol menerusi R. Kogileswaran dan Adib Zainuddin berselang tiga minit kemudian tetapi peluang tersebut berjaya diselamatkan benteng pertahanan lawan.

Tersentak dengan asakan bertali arus dari Malaysia, Bahrain memperkemaskan jentera serangan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi kapten mereka, Mohamed Hardan pada minit ke-33.

Hamad Alhamsan terus menghukum kelekaan benteng pertahan dengan menanduk masuk gol kedua Bahrain hasil sepakan penjuru pada minit ke-37 untuk memastikan mereka selesa mendahului 2-1 pada babak pertama.

Kim Swee melakukan pertukaran dengan memasukkan Akhyar Rashid dan Rodney Calvin Akwensevie untuk mengekang asakan Bahrain tetapi tidak berjaya apabila pasukan lawan terus menguasai sebahagian besar perlawanan.

Hardan sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pasukan negara selepas meledak gol kedua peribadinya dan ketiga untuk pasukan Bahrain dengan penyudah cantik pada minit ke-89.

Pengadil perlawanan kemudiannya menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad negara pada masa kecederaan selepas Akhyar dijatuhkan dalam kotak penalti yang berjaya disempurnakan oleh penyerang gantian, Safawi Rasid.

Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Meskipun tewas, kedudukan Malaysia selaku juara Kumpulan E tidak terjejas selepas memiliki kelebihan rekod pertemuan dengan Korea Selatan yang muncul sebagai naib juara selepas menewaskan Kyrgyztan 1-0.

Malaysia akan bertemu dengan Jepun pada pusingan 16 terbaik di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi, Jumaat nanti. - K! ONLINE