Malaysia dikecewakan saat akhir pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Patriot Chandrabhaga itu selepas Jepun menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti Ayase Ueda pada minit ke-88  setelah Dominic menjatuhkan penyerang lawan di dalam kotak penalti.

Kim Swee mempertahankan tindakan pemain Johor Darul Ta'zim 2 (JDT ll) itu dengan menyifatkan ia dilakukan bertujuan menyelamatkan keadaan, namun hanya tidak bernasib baik.

"Tidak. Saya tidak menyalahkan mana-mana pemain. Kita juga tidak boleh menyalahkan Dominic dengan keputusan sepakan penalti tersebut di mana beliau cuba menyelamatkan gawang negara dan situasi ini berlaku di dalam mana-mana perlawanan.

"Beliau (Dominic) tidak harus dipersalahkan sama sekali di mana beliau telah bermain dengan begitu baik dan konsisten sepanjang perlawanan kita di Indonesia ini," katanya kepada Bernama, semalam.

Kekalahan itu sekali gus meranapkan impian Malaysia melakar sejarah mara ke peringkat suku akhir pada temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Bagaimanapun, beliau mengakui pemain berusia 21 tahun itu masih berada di dalam perancangannya  bagi membentuk pasukan terbaik menjelang saingan kelayakan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, tahun hadapan.

Sebagai rekod, Malaysia mara ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan E selepas meraih dua kemenangan termasuk mengejutkan juara bertahan, Korea Selatan 2-1 dalam aksi kedua kumpulan sebelum tewas 2-3 kepada Bahrain dalam perlawanan terakhir. - Bernama