Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkembangan positif tersebut sekali gus merancakkan industri pelancongan negara dan pihak kerajaan gembira menyaksikan syarikat penerbangan tambang murah itu terus berjaya.

Perkembangan pesat penerbangan kos rendah ketika ini berbanding sedekad lalu telah melonjakkan industri pelancongan negara.

"Pelancongan sudah tentunya satu bahagian yang penting bagi ekonomi Malaysia. Ia merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  dan diiktiraf sebagai salah satu daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA)," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Korporat AirAsia atau lebih dikenali sebagai AirAsia RedQ di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan akan bertindak sebagai pengupaya dan pemudahcara bagi mengetengahkan polisi-polisi yang menyokong pertumbuhan kondusif pasaran dalam menjamin sektor swasta dapat terus maju termasuk industri penerbangan tambang murah.

Jelas Najib, menjadi tugas dan tanggungjawab beliau untuk memperkenal dan melaksanakan polisi-polisi yang membolehkan sektor swasta berkembang dengan lebih baik lagi. - K! ONLINE