Rektor Universiti Osmangazi, Hasan Gonen mengesahkan, lelaki bersenjata itu bekerja sebagai penyelidik di universiti tersebut dan telah menembak mati timbalan dekan, setiausaha fakulti, pensyarah dan kakitangan fakulti pendidikan.

Gonen percaya penyerang itu sedang mencari dekan pada masa kejadian, namun beliau tidak berada di bangunan ketika itu, sebelum melepaskan tembakan.

Penyerang tersebut yang dikenali sebagai Volkan B telah ditahan untuk disoal siasat.

“Penyerang mendakwa bahawa beberapa ahli universiti itu adalah ahli Pertubuhan Pengganas Fethullah (Feto) dan telah membuat tuduhan yang sama (sebelumnya) di mahkamah,” ujar Gonen.

Gonen berkata, tuduhan lelaki itu disiasat oleh pihak berkuasa sebelum kejadian tembakan itu berlaku.

Seorang profesor, Ayse Aypay memberitahu media Turki bahawa beberapa kakitangan universiti telah berulang kali memfailkan aduan mengenai lelaki bersenjata itu yang dianggap bermasalah kerana sering mengutuk ahli akademik secara lantang.

Sementara itu, Gabenor Eskisehir, Ozdemir Cakacak berkata, pendakwa raya daerah telah memulakan siasatan berhubung kejadian tersebut. -REUTERS/AFP