Selain Abd. Rahim, PPK turut disertai lima orang ahli iaitu Bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mokhtar Mohd. Noor, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, Datuk Zamri Yahya danPengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP), Datuk Muhammad Bukhari Abd. Hamid.

Pegawai Undang-Undang, Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd. Sophian Zakaria dan Setiausaha Bahagian, Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mohd. Russaini Idrus turut dilantik sebagai ahli PPK untuk menyiasat kes tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka diberi tugas yang mencabar dan saya yakin dengan kebijaksanaan mereka untuk menyelesaikan perkara berbangkit dalam kes ini dapat diselesaikan.

“Tempoh masa selama enam bulan diberikan kepada mereka untuk menjalankan siasatan kes ini dengan kes Che Amri dijalankan terlebih dahulu memandangkan kes Pastor Raymond Koh sedang dalam perbicaraan di mahkamah.

“Bahagian Cawangan Khas PDRM, Bukit Aman juga terlibat berdasarkan keterangan secara langsung oleh saksi dalam kes ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, dapatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai kehilangan kedua-dua aktivis sosial itu mempunyai kaitan dengan Cawangan Khas PDRM berdasarkan inkuiri awam yang bermula pada Oktober 2017.

Raymond diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017 manakala, Amri yang merupakan pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope hilang sejak 24 November 2016.

Terdahulu, KDN telah menerima laporan pendengaran siasatan awam Suhakam kes kehilangan dua individu itu pada 8 April lalu dan memandang serius dapatan itu serta menyambut baik cadangan penubuhan sebuah jawatankuasa khas siasatan untuk menyiasat kedua-dua kes.

Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju supaya KDN menubuhkan PPK bagi menyiasat kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri  Che Mat pada 8 Mei lalu.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai penglibatan wakil PDRM dalam pasukan itu, Muhyiddin berkata, ahli yang tersenarai itu tidak terdiri daripada unit Cawangan Khas dan beliau percaya kes berkenaan akan disiasat dengan telus.

Jelasnya, beliau yakin dengan pasukan tersebut selepas terpaksa mengambil sedikit masuk untuk melantik individu yang sesuai untuk menyiasat semula kes tersebut.

“Pasukan ini menjalankan tugasan secara dalaman dan KDN mengambil cadangan yang dikemukakan oleh Suhakam untuk kembali menyiasat kes tersebut.

“Biar PPK menjalankan tugas mereka dan sekiranya Suhakam mahu bertemu dan memberi maklumat, ia tidak menjadi halangan,” katanya - K! ONLINE